Home Semasa COVID-19: KKM kesan kluster baru di Pedas, 60 kes disahkan positif

COVID-19: KKM kesan kluster baru di Pedas, 60 kes disahkan positif

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 8 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan satu lagi kluster baru berkaitan wabak pandemik COVID-19 yang melibatkan pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster ini mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang tersebut didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April lalu.

“Beliau kemudianya telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian COVID-19 pada 10 April 2020. Pada 12 April 2020, keputusan ujian pengesanan COVID-19 disahkan positif,

“Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan kilang tersebut telah dijalankan. Sehingga 8 Mei 2020, jam 12 tengah hari, seramai 786 orang telah disaring untuk COVID-19 yang terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan tersebut, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang orang masih menunggu keputusan.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan 7 warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara yang terdiri daripada Nepal (25 kes); Bangladesh (18 kes); Indonesia (8 kes) dan Myanmar (2 kes),

“Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham menjelaskan tiada kes kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), hari ini.

Bilangan kes pulih COVID-19 adalah sebanyak 88 kes dan ia menjadikan jumlah keseluruhan telah discaj serta dibenarkan keluar hari ini adalah sebanyak 4,864 kes.

Manakala bagi kes baharu positif wabak COVID-19, Dr Noor Hisham menambah sebanyak 68 kes dilaporkan hari ini, dimana 57 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes,

“Daripada 68 kes baharu yang dilaporkan hari ini, empat kes daripadanya adalah  import,

“Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 64 kes. Empat kes import adalah membabitkan kepulangan rakyat Malaysia United Kingdom iaitu tiga kes dan Amerika Syarikat, satu kes,” tegasnya.- AirTimes

 

Related Articles

Leave a Reply