Home Semasa PATI bebas dari COVID-19 sebelum ditahan Imigresen – Noor Hisham

PATI bebas dari COVID-19 sebelum ditahan Imigresen – Noor Hisham

by M.Daim

PUTRAJAYA, 2 Mei – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menegaskan kesemua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah disahkan bebas wabak COVID-19 sebelum operasi besar-besaran oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dijalankan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memastikan kesemua 15 ribu penduduk di kawasan itu telah menjalani ujian saringan swab sebanyak 3 kali dan didapati negatif,

“Kes-kes positif COVID-19 telah diambil tindakan dan dibawa ke hospital sebelum ini,” jelas Dr Noor Hisham semasa sesi soal jawab Sidang Media Perkembangan COVID-19, hari ini.

Menurutnya lagi, PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen dan mempunyai status kesihatan lain yang tidak ketahui.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mengesahkan JIM telah melancarkan operasi mengesan dan menangkap PATI di kawasan PKPD di sekitar Masjid India.

“PATI ini dikuarantin secara wajib di dalam kawasan PKPD, dan telah membuat saringan serta swab test kepada mereka dan didapati negatif,

“PKPD akan berakhir, apabila berakhir mereka (PATI) akan dibebaskan, status mereka tidak berubah, walaupun mereka berada di dalam PKPD, mereka masih lagi PATI,

“Undang-undang yang melibatkan PATI tidak ada perbezaan, sama ada sebelum atau selepas PKP dan PKPD. Mereka tetap salah kerana melanggar undang-undang dan menceroboh masuk ke dalam negara kita,” katanya.

Ismail Sabri turut menegaskan kebajikan PATI yang ditahan adalah terjaga termasuk dari segi makanan serta kesihatan sepanjang tempoh PKPD dan di depoh tahanan.

“Tidak timbul isu kerajaan Malaysia bertindak zalim kepada PATI, semasa mereka berada dalam PKPD kebajikan mereka dijaga dengan baik sama dengan rakyat Malaysia,” ujarnya. – Air Times

Related Articles

Leave a Reply