Home Semasa Dr Noor Hisham: Jangan tindas pesakit dan kluster positif COVID-19

Dr Noor Hisham: Jangan tindas pesakit dan kluster positif COVID-19

by M.Daim

PUTRAJAYA, 6 Apr – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menggesa masyarakat untuk tidak mendikriminasikan mana-mana pesakit atau kumpulan kluster yang dikesan positif COVID-19.

“Jangan stigmakan mereka. Apa yang penting adalah kita membantu mengesan, menguji, mengasing dan merawat jangkitan COVID-19 di kalangan pesakit, kontak rapat serta ahli keluarga mereka.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Perkembangan Semasa COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menegaskan perhimpunan besar-besaran menjadi punca peningkatan secara mendadak dalam kes jangkitan COVID-19.

“Hasil siasatan terhadap beberapa kes dan kluster, KKM memaklumkan terdapat 2 kluster yang berkaitan perhimpunan besar-besaran,

“Pertama, satu kluster melibatkan Persidangan keagamaan gereja selama 3 hari di Kuching, Sarawak. Setakat ini, 83 orang disahkan positif COVID-19 dari kluster ini. Selain daripada itu, terdapat 5 kes kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“50 kes sedang dirawat di hospital manakala 25 kes dibawah pemerhatian di pusat kuarntin. 1 kes pulih dicatatkan dari kluster ini,” jelas Dr Noor Hisham.

Selain daripada itu, beliau turut memaklumkan terdapat satu lagi kluster dikesan iaitu melibatkan Majlis Perkahwinan Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Sehingga 6 April 2020, 88 kes disahkan positif dan 1 kes sedang dirawat di ICU. Tiada kes kematian berkaitan dengan kluster ini,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham menambah, kluster Gereja dan kluster Majlis Perkahwinan Bangi telah melibatkan jangkitan generasi ke-5.

“Keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tepat bagi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19,

“Walau bagaimanapun, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan untuk memastikan usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 ini berjaya,” tambahnya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 1 kes kematian direkodkan pada hari ini. Selain itu, sebanyak 236 kes pulih direkodkan dan merupakan jumlah pulih harian yang tertinggi setakat ini.

“Dengan itu, jumlah kumulatif pesakit pulih adalah sebanyak 1,241 kes dengan peratusan sebanyak 32.72% dari jumlah kes,” jelas Ketua Pengarah Kesihatan.

Pada masa yang sama, sebanyak 131 kes baharu COVID-19 dikesan pada hari ini dan menjadikan jumlah kes jangkitan sebanyak 3,793 kes di negara ini.

Menurut beliau, sehingga kini seramai 102 kes sedang dirawat di ICU dan 54 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply