PUTRAJAYA, 20 Mac – Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura boleh terus berada di sana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan itu dibuat setelah perbincangan dengan kerajaan Singapura bersetuju untuk menyediakan tempat tinggal kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana.
“Apabila pekerja Malaysia pulang nanti, mereka perlu membuat saringan kesihatan COVID-19 bagi memastikan tahap kesihatan mereka,
“Kesemua kos itu akan ditanggung oleh Singapura,” kata Menteri Pertahanan.
Kira-kira 400,000 rakyat Malaysia dilaporkan bekerja di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari menaiki motosikal.
Dalam masa yang sama Ismail berkata, kedua-dua negara akan menubuhkan dua jawatankuasa khas iaitu satu di peringkat menteri dan satu di peringkat ketua setiausaha kementerian.
“Jawatankuasa peringkat menteri akan dipengerusikan bersama dengan Menteri Pertahanan Singapura,
“Manakala jawatankuasa kerja dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar bersama KSU kementerian lain dan bersama KSU kementerian di Singapura,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.
Ismail turut menambah, kerajaan negeri Johor akan terlibat secara langsung kerana ia melibatkan pergerakan harian dari Singapura dan Malaysia.
