Home Semasa Jangan keluar rumah, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan – Titah Agong

Jangan keluar rumah, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan – Titah Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billlah Shah hari ini bertitah kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama membendung wabak COVID-19 yang melanda negara ini.

Dalam titah yang disiarkan ke seluruh negara, Baginda turut berpesan kepada rakyat supaya tidak panik kerana bekalan barang keperluan dijamin mencukupi dan menyeru rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jangan keluar dari rumah sekiranya tiada keperluan penting dan saya juga meminta supaya batalkan hasrat untuk pulang ke kampung,

“Jangan berkumpul, tangguhkan majlis kenduri kahwin dan jangan sebar berita palsu,

“Kepada ibu bapa pengantin, saya nasihatkan tangguhkan dulu majlis kenduri sehingga keadaan beransur pulih,” titah Baginda.

Baginda turut menyeru rakyat agar jangan menyebar berita palsu.

“Paling penting jaga kebersihan diri, kerap basuh tangan, guna ‘hand sanitizer’ serta pakai topeng muka dan amalkan jarak sosial,

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu membendung wabak ini,” titah baginda.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara adalah bagi menyekat penularan wabak COVID-19 dalam masa terdekat.

Sehingga hari ini, terdapat 130 kes baharu yang telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadikan jumlah kumulatif adalah 1,030 kes di Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply