Home Semasa Segera kerah tentera dan polis bantu Kementerian Kesihatan Malaysia bendung COVID-19

Segera kerah tentera dan polis bantu Kementerian Kesihatan Malaysia bendung COVID-19

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Mac – ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menegaskan sudah tiba masanya untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan pendekatan “social distancing” seperti mana yang telah disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengawal penularan wabak novel Coronavirus (COVID-19) dari merebak dengan lebih pantas.

Menurut beliau, kes di Masjid Sri Petaling merupakan contoh jelas yang menuntut bahawa pendekatan “social distancing” perlu diisytiharkan dalam tempoh masa yang terdekat.

Dalam satu kenyataan, Afif turut mencadangkan agar kerajaan mengerahkan anggota tentera dan polis serta barisan hadapan (frontliners) KKM dalam menjalankan pengesanan kontak (contact tracing) penghidap wabak.

“Saya yakin langkah ini akan melicinkan dan memudahkan kerja-kerja KKM dalam berdepan wabak pandemik COVID-19,

“Kerjasama daripada semua pihak akan memastikan pengawalan wabak ini dapat dijalankan dengan lebih mudah,” jelas Dr Afif dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Bekas EXCO Kesihatan Pulau Pinang itu turut menyarankan kepada rakyat Malaysia agar kekal tenang dan mematuhi segala arahan serta prosedur daripada pihak KKM dalam menangani wabak COVID-19.

“Penularan wabak COVID-19 yang melanda di serata dunia menimbulkan krisis ekonomi dan sosial yang meruncing dan mewujudkan keresahan dalam segenap rakyat Malaysia,

“Peningkatan sebanyak 190 kes pada 15 Mac 2020 (semalam) memberi petanda yang amat jelas akan tahap penularan wabak pandemik dalam negara ini adalah serius dan kerajaan perlu mengambil pendekatan yang holistik dan efektif dengan kadar segera,” tegas Dr Afif.

 

Related Articles

Leave a Reply