Home Politik Pelantikan Menteri: Mufti Perlis puji sikap terbuka Hadi Awang

Pelantikan Menteri: Mufti Perlis puji sikap terbuka Hadi Awang

by Khairunnisa Suhairi

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memuji sikap terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak menawarkan dirinya untuk dilantik dalam mana-mana jawatan Menteri.

Asri atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA menerusi akaun Facebook rasminya berkata, walaupun Hadi mengemukakan senarai nama dari partinya untuk dilantik dalam barisan Kabinet yang baharu, tetapi beliau tidak bertegas membuat tuntutan untuk dirinya.

Tambah Asri, beliau hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri kepadanya.

“Kelmarin saya dijemput oleh Muhyiddin dan beliau menceritakan pada saya tentang perkembangan akhir sebelum Kabinet diumumkan,

“Antara yang saya kagum, beliau memberitahu sikap terbuka Hadi Awang yang tidak mewajibkan agar dirinya mesti dilantik,

“Kita patut memuji sikap seperti itu,” jelas Asri.

Tambah Asri, pihak yang mempersendakan Hadi Awang kecewa tidak dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet yang baharu adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

“Saya melihat ada pihak-pihak yang mempersendakan Presiden PAS kecewa kerana tidak dilantik. Tetapi saya percaya, persendaan itu satu dosa atas tuduhan yang tidak berasas,”

“Marilah kita sama-sama mendokong kerajaan yang dibentuk ini demi kebaikan dan masa depan negara yang kita cintai ini. Ketepikan emosi dan kepentingan diri,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply