KUALA LUMPUR, 10 Mac – Majlis Tindakan Khas COVID-19 Negeri Selangor yang bermesyuarat hari ini bersetuju melantik bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad untuk mengetuai pasukan petugas khas bagi memantau dan mengawasi wabak di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil setelah mendapati 60 peratus daripada kes-kes berkenaan yang dijangkiti merupakan warga negeri Selangor.
“Orang ramai tidak perlu khuatir kerana keadaan setakat ini masih terkawal,
“Langkah-langkah pencegahan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia wajar dipatuhi bagi mengelakkan berlaku jangkitan,” katanya.
Menurutnya, pasukan itu akan berkerjasama dengan Smart Selangor Command Centre bagi menjejak dan mengenalpasti virus COVID-19 termasuklah dengan menggunakan sistem maklumat geografi (Geographic Information Systems).
“Maklumat ini kemudiannya akan dikongsikan dengan pihak-pihak berwajib untuk langkah-langkah seterusnya,
“Kerajaan Negeri mengambil berat kemaslahatan umum dan akan melaksanakan segala langkah yang perlu,” tambah Amirudin.