Home Politik Ahli Parlimen PKR dipecat sokong Tun M sebagai Perdana Menteri

Ahli Parlimen PKR dipecat sokong Tun M sebagai Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Kumpulan 11 Ahli Parlimen yang dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan mereka memberi sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Dalam kenyataan bersama yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menjelaskan, tindakan yang diambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh serta penumpuan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Kami sekali lagi mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Ia merupakan mandat sebenar diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14,

“Kumpulan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan,

“Kami sekarang sedang menunggu giliran untuk mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk ditemubual,” jelas kenyataan itu.

Kumpulan itu juga menyatakan langkah yang telah mereka ambil menunjukkan perkembangan positif dan menyakinkan.

“Kami sedang menangani isu-isu berkaitan secara berperingkat,” tegasnya.

Selain Azmin, turut dinamakan dalam kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Kamaruddin Jaffar dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Selain itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Puncak Borneo; Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin turut berada dalam senarai kumpulan berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply