KUALA LUMPUR, 25 Feb – Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menerajui kepimpinan negara.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata, sokongan itu telahpun disampaikan secara rasmi kepada Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tun Dr Mahathir pada Ahad lepas oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Openg.
“Abang Johari yang juga merupakan Ketua Menteri Sarawak telah mendapat mandat sebulat suara oleh Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS dan kesemua Ahli Parlimen GPS,
“Kesemua mereka telah memberikan sokongan kepada Dr Mahathir agar terus menerajui kepimpinan Malaysia demi kepentingan negara,” katanya.
Parti komponen GPS adalah terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).