Home SemasaGlobal Rundingan damai selatan Thailand disambung pada Mac

Rundingan damai selatan Thailand disambung pada Mac

by Bernama

BANGKOK, 8 Feb – Rundingan damai membabitkan wilayah majoriti Islam di selatan Thailand, antara wakil kerajaan dan kumpulan Barisan Revolusi Nasional (BRN) akan disambung semula pada Mac, kata ketua perunding Thailand, Jeneral Wanlop Rugsanaoh.

Beliau berkata mesyuarat rasmi pertama antara kerajaan Thailand dan BRN – menyaksikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator- diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Januari, bertepatan kerana memberi peluang untuk ‘mengenali antara satu sama lain’ dan mengesahkan kerangka kerja bagi memastikan kemajuan dan kesinambungan dialog.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membantu memudahkan perbincangan dengan membawa kumpulan BRN ke meja rundingan. Mesyuarat seterusnya dijangka awal Mac dan kedua-dua pihak akan mengemukakan syor mereka,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan menerima “idea” pemberian autonomi untuk selatan Thailand, Wanlop berkata “kami akan mendengarnya dengan hati terbuka dan mempertimbangkan”.

Kerajaan Thailand berharap dapat melihat kesinambungan rundingan damai di selatan Thailand yang akan membawa keamanan jangka panjang untuk rakyat, katanya.

Pada 20 Jan, satu mesyuarat rasmi diadakan antara BRN dan kerajaan Thailand, ia telah membawa harapan baharu untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand. Delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.

Menurut laporan media, Anas berkata kedua-dua pihak akhirnya mencapai kesepakatan bahawa rundingan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di wilayah majoriti Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di selatan Thailand.

Wanlop berkata buat masa ini, rundingan itu membabitkan pasukannya dan BRN manakala Malaysia bertindak sebagai fasilitator.

Pemberontakan di selatan Thailand bermula pada 2004, di empat wilayah – iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla – dan telah mengorbankan 7,000 nyawa. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply