Home Semasa Mujahid kesal tindakan Sajat bertelekung ditanah suci

Mujahid kesal tindakan Sajat bertelekung ditanah suci

by Bernama

PUTRAJAYA, 3 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini kesal dengan tindakan usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzaman yang menjalani ibadah umrah dengan berpakaian seperti wanita.

Mujahid berkata, tindakan Muhammad Sajad atau dikenali sebagai Sajat itu, yang berada di tanah suci bersama rakan-rakannya telah mencemarkan imej Islam.

“Kita kesal sebab dia telah menjejaskan imej sebagai seorang yang dalam IC (kad pengenalan) adalah lelaki dan dia seorang lelaki secara biologinya… pergi ke Mekah, saya difahamkan, dalam flight semua elok, pakai secara lelaki dan sebagainya tapi bila di Mekah dia bertelekung.

“Saya kesal dengan tindakannya… sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan,” katanya kepada media selepas Program Town Hall Maqasid Syariah Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Mujahid berkata beliau akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu termasuk daripada agensi pelancongan yang bertanggungjawab membawa dan menguruskan Muhammad Sajad dan rakan serta keluarganya ke tanah suci.

Dalam pada itu, Mujahid berkata tindakan Muhammad Sajad itu, bagaimanapun tidak akan menjejaskan kuota haji negara.

“Ini lebih kepada masalah individu yang perlu ditangani,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sajad memuat naik gambar-gambar dan video di Makkah, dalam keadaannya bertelekung.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply