Home SemasaGlobal “Perjanjian Abad Ini”, Malaysia boleh jadi peneraju dalam isu Palestin – PCOM

“Perjanjian Abad Ini”, Malaysia boleh jadi peneraju dalam isu Palestin – PCOM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menggesa Malaysia menjadi peneraju dalam menggerakkan negara lain bagi menyokong perjuangan Palestin ekoran pendedahan Pelan Damai Timur Tengah pada Selasa.

Pertubuhan bukan kerajaan bebas berpangkalan di Malaysia itu turut menggesa semua negara yang cintakan kebebasan untuk bersatu mendukung hak rakyat Palestin bagi memiliki negara yang bebas dan berdaulat.

“Tiba masanya untuk seluruh masyarakat antarabangsa mengiktiraf kemerdekaan dan kebebasan Palestin, mengingkari pelan zalim Amerika.

“Kami merayu Malaysia di bawah kepemimpinan berani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dapat menerajui usaha, menggerakkan dunia Islam dan negara bukan Islam dalam perjuangan yang sudah sekian lama ini ke arah pembentukan negara Palestin yang bebas dan berdaulat,” kata PCOM dalam satu kenyataan.

PCOM turut menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meningkatkan usaha mereka menyokong rakyat Palestin ketika berdepan dengan fasa baharu pendudukan dan penindasan ini.

Ia menyatakan, pelan yang tidak adil dan berat sebelah itu yang digelar ‘Perjanjian Abad Ini’ ditolak serta-merta oleh semua rakyat Palestin – termasuk kepemimpinan serta semua sayap politik serta pertubuhan bukan kerajaan Palestin.

“Oleh itu, kami menegaskan keperluan mencari pendirian yang berani dan bertanggungjawab bagi berdepan dengan cadangan tidak adil (Presiden Donald Trump), menerusi langkah menggerakkan seluruh rakyat Palestin dan melipat gandakan semua bentuk perjuangan menentang pendudukan Israel,” katanya.

Pada Selasa, Trump mengumumkan pelan yang antara lain menyatakan, Baitulmaqdis akan kekal menjadi ibu negara Israel dan Amerika akan mengiktiraf kedaulatan wilayah Israel yang diduduki.

PCOM berkata, pelan itu mencadangkan pembentukan negara Palestin yang tidak mempunyai apa-apa fungsi di satu ceruk kawasan bersejarah kecil dengan ibu negaranya terletak di sebahagian kawasan Baitulmaqdis Timur.

Pertubuhan itu menyatakan, menurut pelan tersebut, hak lebih enam juta pelarian Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka akan digantikan dengan langkah dangkal memberi pampasan dan menyerapkan mereka ke negara lain.

PCOM menyatakan, sejak 1948, Pihak Berkuasa Pendudukan Israel berusaha keras melenyapkan isu Palestin namun gagal disebabkan pendirian teguh rakyat Palestin dan sokongan berterusan rakan mereka dari seluruh dunia.

“Dalam usaha menggagalkan usaha terbaru ke atas Palestin ini, kita perlu bersatu dalam berdepan dengan perjanjian tidak adil rejim Zionis,” menurut pertubuhan itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply