Home Semasa Mustapa Mohamed dilantik Pengerusi TERAJU mulai 1 Disember 2019

Mustapa Mohamed dilantik Pengerusi TERAJU mulai 1 Disember 2019

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan pelantikan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Mohamed Azmin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Mustapa sebagai pengerusi TERAJU telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, beliau yakin dengan pelantikan Mustapa akan dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera seriring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara,

“Dengan kepimpinan yang baharu ini, saya pasti usaha berterusan yang akan dilaksanakan oleh TERAJU akan meningkatkan daya saing Bumiputera sekali gus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara,

“Selain dari sudut ekonomi, TERAJU mempunyai peranan yang besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Mustapa yang juga dikenali sebagai Tok Pa mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.

Tok Pa pernah memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari 2009-2018, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2009), Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan 2 (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).

 

Related Articles

Leave a Reply