Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Bekas pegawai TLDM didakwa tipu kontrak bekal 80 telefon pintar berjumlah RM236,000

Bekas pegawai TLDM didakwa tipu kontrak bekal 80 telefon pintar berjumlah RM236,000

by Bernama

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Seorang bekas Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menipu membabitkan kontrak pembekalan 80 unit telefon pintar bernilai RM236,000 antara Februari hingga Mac tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Zaidi Mohd Bishan, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zaidi didakwa telah mendorong Maizatul Nurain Mohamad, 24, untuk menyerahkan 80 unit telefon pintar Samsung Note 9 bernilai RM236,000 kerana mempercayai tertuduh menawarkan kontrak pembekalan telefon bimbit kepada markas TLDM sehingga mangsa mengalami kerugian.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang, Setapak, di sini, antara 28 Februari hingga 8 Mac 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hajar Hamzah menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung banyak hutang.

“Ayah saya baru meninggal dunia minggu lepas dan menanggung isteri dan ibu di kampung,” katanya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply