Home Semasa 11 persatuan Pesara Polis Malaysia bantah cubaan kembalikan ideologi PKM

11 persatuan Pesara Polis Malaysia bantah cubaan kembalikan ideologi PKM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Seramai 3,000 orang pesara polis hadir membanjiri Padang Merbok bagi menyuarakan bantahan cubaan mengembalikan semula ideologi komunis di negara ini.

Perhimpunan Pejuang Negara dianjurkan oleh 11 Persatuan Pesara Polis Malaysia telah diadakan seawal 9 pagi.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Tan Sri Mohd Ismail. Foto: Air Times

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Tan Sri Mohd Ismail mendesak pihak berkuasa agar melakukan siasatan menyeluruh ke atas penganjur majlis peringatan Perjanjian Damai Hatyai 1989 yang telah diadakan di Sepang dan Kajang oleh bekas ahli Parti Komunis Malaya.

“Masyarakat Malaysia berasa marah serta membantah penganjuran kedua-dua majlis yang disifatkan sebagai perbuatan khianat dan kurang ajar,

“Bekas anggota pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi penguatkuasaan lain telah berkorban nyawa untuk memerangi anasir-anasir komunis,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Ismail juga mengesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk lebih tegas dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membangkitkan ideologi komunis.

“Kami juga menuntut kerajaan agar undang-undang dan peraturan digubal dengan jelas bagi mengharamkan PKM serta organisasinya. Mereka yang didapati bersalah hendaklah dihukum dengan setimpal,” tegas Mohd Ismail kepada pemberita selepas perhimpunan Pejuang Negara di perkarangan Padang Merbok Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mohd Ismail, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang usaha menghidupkan semula PKM dan ideologi komunisme agar melaporkan segera kepada pihak berkuasa.

Turut hadir, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar dan Tan Sri Musa Hassan.

Perhimpunan ini disertai 11 Persatuan Pesara Polis Malaysia yang diterdiri daripada Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Persatuan Veteran VAT 69 Komando (PVV69K), Persatuan Bekas Unit Tindakan Khas (PBUTK), Persatuan Pesara Polis Malaysia (PPPM), Persatuan Polis Pencen Negeri Melaka (PPPNM), Persatuan Pesara Polis Negeri Johor (PPPNJ), Persatuan Bekas Polis Malaysia, Persatuan Bekas PPH Skuad 72 (PBPPHS72), Persatuan Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Persatuan Batalion 7 PPH dan F- Team.

Related Articles

Leave a Reply