Home Semasa Pertubuhan Dong Jiao Zong umpama cacing naik ke mata

Pertubuhan Dong Jiao Zong umpama cacing naik ke mata

by M.Daim

KAJANG, 25 Dis – Wakil 40 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tiba di Ibu Pejabat Balai Polis Kajang seawal pukul 8 pagi tadi bagi membuat laporan polis terhadap Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Laporan tersebut dibuat berikutan rancangan kedua-dua pertubuhan terbabit berhasrat untuk melakukan himpunan besar-besaran di Kolej New Era Kajang bagi membantah pelaksanaan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SJK(C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, SJK(T).

“Tindakan terbaru Dong Jiao Zong dilihat mempunyai yang jelas untuk menentang naratif perpaduan nasional antara kaum di peringkat kebangsaan terutamanya di antara kaum Melayu sebagai pribumi dan kaum Cina,

“Kami menggesa pihak polis menyiasat secara terperinci segala aktiviti Dong Jiao Zong yang semakin ketara membawa perpecahan kepada kaum,” jelas kenyataan media bersama oleh kesemua NGO yang hadir.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Ustad Masridzi Sat, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), NGO umat Islam dan NGO Masyarakat Sivil menyuarakan tiga tuntutan dalam laporan polis yang dibuat terhadap Dong Jiao Zong. Tuntutan yang dikemukakan adalah siasatan terhadap Dong Jiao Zong di bawah Akta Hasutan, mengharamkan Dong Jiao Zong dan menuntut pertubuhan itu untuk membatalkan Kongres Pertubuhan Cina pada 28 Disember di New Era College, Kajang.

“Dong Jiao Zong telah jelas mempersoal dan menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ini merupakan kecenderungan menghasut seperti termaktub dalam Akta Hasutan 1948,

“Dong Jiao Zong turut melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bagi mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ini termasuklah tulisan Jawi,” katanya

Kesemua wakil NGO yang hadir sebulat suara mendesak Dong Jiao Zong diharamkan dan disiasat mengikut lunas undang-undang. Foto: Air Times/M Daim

Selain daripada itu, beliau menegaskan kesemua NGO yang hadir menuntut Dong Jiao Zong untuk diharamkan kerana tindakan pertubuhan itu melanggar syarat dalam Seksyen 2A(1) Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 2A(1) memperuntukkan pertubuhan berdaftar dikehendaki untuk menjalankan urusan dan aktiviti yang tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menambah, Dong Jiao Zong didakwa telah melanggar peruntukan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 kerana tidak mengendahkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhubung rancangan pertubuhan terbabit untuk melaksanakan Kongres Pertubuhan Cina pada 28 Disember

“Tindakan Dong Jiao Zong menganjurkan Kongres Pertubuhan Cina ini adalah asas bagi membolehkan Pendaftar Pertubuhan membatalkan pendaftaran pertubuhan ini selari dengan Skesyen 12(1)(c)(iii) Akta Pertubuhan 1966,

“Tujuan Dong Zong dan Jiao Zong didaftarkan adalah untuk memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum tetapi kongres yang akan dianjurkan akan mencetuskan ketidakharmonian antara kaum,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, Masridzi mendesak kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan tegas terhadap Dong Jiao Zong sebagaimana kerajaan bertindak terhadap kumpulan-kumpulan militan yang cuba bertapak di negara ini.

“Jika dibiarkan, Dong Jiao Zong ibarat cacing akan naik ke mata. Ini sangat merbahaya kerana pertubuhan ini mencabar Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia serta cuba memohon bantuan dari luar negara untuk huru-harakan tanah air,

“Kita tidak boleh terima orang luar untuk campur tangan dalam urusan Malaysia dan kita tidak akan bersekongkol dengan mereka,” tegas Masridzi.

Related Articles

Leave a Reply