Home Semasa Berganding bahu tolak kebangkitan ideologi komunisme

Berganding bahu tolak kebangkitan ideologi komunisme

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Seramai 55 orang berkumpul di Dataran Merdeka sebagai simbolik menyuarakan bantahan terhadap kebangkitan ideologi komunis di negara ini.

Menurut aktivis dan Ketua Prasarana Kempen Beli Produk Muslim, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, Dataran Merdeka dipilih sebagai simbolik untuk mempertahankan kemerdekaan negara.

“Walaupun bilangan kami kecil, ini adalah permulaan usaha kami untuk menentang ideologi komunis yang mula bertapak semula di negara ini,” katanya semasa menyampaikan pidato beliau dalam Himpunan Bantah Komunis 2112, hari ini.

Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Izzat berkata, perhimpunan kecil ini tidak melibatkan anjuran mana-mana parti politik kerana usaha untuk membanteras kebangkitan ideologi komunis di negara ini perlu dilakukan secara mutlak.

“Kita dapat berkumpul bersama-sama di Dataran Merdeka walaupun tiada penganjur utama untuk himpunan ini,

“Himpunan hari ini adalah satu rally (rapat umum) sebelum perhimpunan yang lebih besar akan diadakan pada satu hari nanti,” katanya.

Beliau menambah, perhimpunan yang lebih besar akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Yang penting, kita menyuarakan kehendak kita untuk menolak komunis terus bertapak di negara kita,” tegasnya.

Sementara itu, Ellie Suriaty Omar, Pengerusi Pertubuhan Semangat Gelombang Rakyat Malaysia (SEGAR) menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu berganding bahu untuk menolak sentimen komunisme.

“Sekarang kita dalam keadaan yang sangat bahaya dan diserang dari segi pelbagai sudut termasuklah penularan budaya hedonisme,

“Kita kena bersedia dengan pelbagai ancaman yang bukan sahaja terhad kepada senjata tetapi serangan psikologi,” tegasnya semasa menyampaikan ceramah di perhimpunan yang sama.

Beliau menegaskan, kedudukan Melayu dan agama Islam semakin tergugat di negara ini berikutan dengan perkembangan semasa politik tanah air.

Selain daripada itu, satu perhimpunan bantah kebangkitan komunis akan diadakan pada 24 Disember di Tugu Negara kelak.

Related Articles

Leave a Reply