Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Hebat…Pesawat TUDM berdiri tegak di udara – Pengunjung

Hebat…Pesawat TUDM berdiri tegak di udara – Pengunjung

by Nurulhuda

KUANTAN, 17 Nov – “Yang paling teruja apabila dapat melihat juruterbang tegakkan pesawat di udara dalam masa yang lama… gaya yang hebat!” kata salah seorang dari 50 ribu pengunjung yang hadir ke Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2019 di Pangkalan Udara Kuantan semalam.

Halimatus Saadiyah Ahmad, 32 berkata segmen persembahan udara merupakan tarikan utama beliau dan keluarga hadir ke Hari Terbuka TUDM yang berlangsung semalam.

“Dalam banyak-banyak segmen, sudah tentu segmen persembahan udara yang menjadi tarikan. Anak-anak datang nak tengok sendiri pertunjukan tersebut,

“Lepas ini kami akan melawat ke aset TUDM satu-satu, selalu hanya boleh tengok dari jauh, sekarang boleh melihat sendiri depan mata,” kata Halimatus kepada pemberita semalam.

Menurutnya, penganjuran aktiviti seperti ini dapat membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri keupayaan serta aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya TUDM. Penganjuran ini merupakan platform yang terbaik untuk mendekatkan hubungan antara ATM dan orang awam.

Aksi Sukhoi SU-3MKM semasa Hari Terbuka TUDM 2019 di Pangkalan Udara Kuantan. Foto : Air Times

“Kalau tiada aktiviti seperti ini, sudah tentu orang awam tidak dapat masuk ke kem dengan sendirinya. Jadi bila adanya aktiviti ini, kami dapat melihat dengan lebih dekat dan mengetahui kerja-kerja seorang anggota tentera,

Halimatus yang merupakan seorang pegawai bank di Kemunting berkata beliau berasa teruja apabila buat kali pertama dapat menyaksikan pertunjukan yang hebat seperti ini dan berharap aktiviti sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Untuk hari terbuka yang akan datang, boleh diteruskan macam ni. Cuma kalau boleh masa dan hari di panjangkan untuk memberi peluang kepada orang ramai menghadirinya,

“Mungkin ia boleh dibuat dalam masa dua hari, bila satu hari ia sangat padat dan kepada pengunjung yang hendak datang, terkejar-kejar dengan masa yang singkat,” katanya yang datang bersama suami dan tiga orang anak semalam.

Semalam, hampir 50 ribu  pengunjung hadir ke Pangkalan Udara Kuantan bagi menyaksikan pertunjukan udara TUDM yang melibatkan beberapa buah pesawat seperti helikopter EC-725 AP dan pesawat latihan PC-7 Mk II. Selain daripada itu, para pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan aksi aerobatik jet pejuang F/A-18D Hornet, SUKHOI Su-30MKM  dan Bae HAWK 108/208.

Hari Terbuka TUDM 2019 yang berlangsung selama sehari semalam melibatkan pelbagai aktiviti yang disediakan kepada pengunjung termasuk persembahan udara dan pameran statik pesawat-pesawat TUDM.

 

Related Articles

Leave a Reply