Home Politik LTTE: Kenapa Tommy Thomas bertindak ‘double standard’ – Zahid Hamidi

LTTE: Kenapa Tommy Thomas bertindak ‘double standard’ – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ekoran keputusan Mahkamah Sesyen Seremban hari ini yang yang membenarkan pembatalan dua pertuduhan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Zahid turut mempersoalkan adakah dua pertuduhan ADUN tersebut berhubung pendakwaan memiliki item berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) dibatalakan kerana beliau adalah pemimpin dan pengikut DAP.

“Kenapa AG bertindak ‘double standard’ kepada mereka yang disyaki dalam kes LTTE yang melibatkan pendakwaan dengan undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berbanding mereka yang ditangkap, didakwa dan dihukum sebelum ini yang melibatkan tuduhan kesalahan yang lebih kecil?

“Apakah kerana mereka yang ditahan kali ini merupakan pemimpin dan pengikut DAP?” soal beliau lagi menerusi satu kenyataan ringkas dalam Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman di Seremban Jaya dan Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Okt lalu.

Gunasekaran bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili barisan empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.

Sebelum ini, Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan telah dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Okt kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober lepas, atas pertuduhan tambahan.

Pada 1 November lalu, Mahkamah Seysen Kuala Lumpur membenarkan permohonan dua ADUN dan 10 lelaki untuk di bawa ke Mahkamah Tinggi bagi dakwaan terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Kedua-dua ADUN itu ialah G. Saminathan (Gadek) dan P. Gunasekaran (Seremban Jaya) manakala 10 lelaki lain ialah V. Balamurugan; S. Teeran; A. Kalaimughilan; S. Chandru; S. Arivainthan; S. Thanagaraj; M. Pumugan; Sundram Renggan @ Rengasamy; V. Suresh Kumar dan B. Subramaniam.

Hakim Rozina Ayob memutuskan terdapat merit dalam permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Related Articles

Leave a Reply