Home Pertahanan dan Keselamatan Kebajikan keluarga anggota ATM hilang di Pulau Perak tetap dibela

Kebajikan keluarga anggota ATM hilang di Pulau Perak tetap dibela

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Kebajikan ahli keluarga dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang di kawasan operasi Pulau Perak, Kedah pada 19 Julai lalu tidak pernah diabaikan.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata, pada 23 Oktober lalu, lembaga siasatan memuktamadkan dua anggota berkenaan hilang namun, kebajikan ahli keluarga mangsa tetap dibela.

“Apa yang patut diberikan kepada keluarga sebelum tempoh itu akan diberikan mengikut SOP. Jika selepas tujuh tahun tidak ditemui, keluarga boleh memohon ‘dianggap mati’.

“Untuk yang ada keluarga (seperti) Koperal David Edmund Rapi, 39 gaji beliau akan disalurkan ke akaun balu beliau.

“Manakala bagi Lans Koperal Moses Logers, 25, mangsa belum berkahwin dan tiada ibu bapa maka gajinya akan dihentikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai bentuk bantuan dan kebajikan yang disediakan Kementerian Pertahanan kepada ahli keluarga mangsa.

Selain itu, Liew berkata misi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota tersebut akan diaktifkan semula sekiranya ada petunjuk baharu.

“Aset ATM sentiasa melakukan pemantauan di kawasan sekitar kawasan yang mereka dipercayai hilang.

“Operasi SAR yang melibatkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dihentikan berikutan tiada petunjuk baharu. Operasi SAR akan disambung semula jika terdapat petunjuk baharu.

“Walau bagaimanapun, aset ATM sentiasa melaksanakan pemantauan di kawasan tersebut bagi mendapatkan petunjuk baharu, jelasnya lagi.

Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua anggota tentera itu ditamatkan pada 26 Julai 2019 selepas tiada perkembangan positif dan operasi akan dibuka semula jika ada petunjuk baharu.

Related Articles

Leave a Reply