SHAH ALAM, 19 Okt – Jenazah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang juga Exco Bola Sepak PKNSFC, Azalan Miswan yang maut dalam kemalangan bas di Turki pada Rabu lepas dijangka tiba di tanah air petang ini.
Menurut Penasihat Pertahanan Malaysia di Turki, Kolonel Abdul Halim, jenazah telah diuruskan dan diterbangkan ke tanah air dengan menggunakan pesawat Turkish Airlines pada pukul 1.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia).
“Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.15 petang waktu Malaysia,” jelas beliau ketika dihubungi.
Urusan kepulangan jenazah telah dikoordinasikan Halim yang mewakili Kementerian Pertahanan Malaysia, bersama staf kedutaan Malaysia pada Khamis lalu.
Selain menguruskan kepulangan jenazah, aspek kebajikan para mangsa kemalangan yang lain dari segi makan dan penginapan turut diuruskan dengan bantuan kerajaan tempatan.
Sementara itu, menurut Pejabat Atase Pertahanan, seramai 5 orang mangsa yang cedera masih dirawat di hospital dan 2 daripadanya dijangka dibenarkan keluar pada hari ini.
“Dua mangsa yang sedang dirawat dijangka akan dibenarkan keluar dari hospital pada hari ini,” jelasnya.
Pada Rabu lalu, seramai 10 orang rakyat Malaysia cedera manakala seorang lagi maut dalam kemalangan bas di Afyonkarahisar.