Home Semasa SOSMA tidak perlu dimansuhkan – Mohamad Sabu

SOSMA tidak perlu dimansuhkan – Mohamad Sabu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak perlu dimansuhkan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Sebaliknya, Presiden Parti Amanah Negara itu berkata SOSMA hanya perlu diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mengelakkan ia disalahgunakan.

“Sosma tak perlu dimansuhkan. Tetapi pada pandangan saya, ia perlu diperbaiki dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mohamad memberi contoh kes penangkapan bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah ketika era BN dahulu.

“Tindakan seperti itu tidak patut, jadi Sosma perlu dikemas kini,” katanya.

Mohamad mengulas penangkapan beberapa individu termasuk pemimpin DAP yang disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mohamad berkata Kementerian Dalam Negeri sedang mengkaji untuk mengemas kini SOSMA, tetapi beliau tidak tahu bila ia akan dibentangkan kepada Kabinet.

Mohamad juga menyerahkan kepada polis dalam menyiasat kumpulan pengganas LTTE.

“Diharap dijalankan ikut peraturan dan saya yakin polis lebih berhati-hati dalam kes ini,” jelasnya.

Minggu lalu, PDRM telah menahan Exco Melaka G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya P Gunasekaran bersama 12 individu kerana disyaki terlibat dengan LTTE.

LTTE disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Related Articles

Leave a Reply