Home Semasa APMM tahan dua kapal korek bersama 12 kru warga China dan Filipina

APMM tahan dua kapal korek bersama 12 kru warga China dan Filipina

by Bernama

MELAKA, 15 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua buah kapal korek bersama 12 kru warga China dan Filipina kerana didapati melanggar syarat lesen, iaitu beroperasi pada luar waktu dibenarkan, di kedudukan kira-kira 4.6 Batu Nautika Barat Daya Tanjung Keling, dekat sini, tengah malam tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, kapal terbabit ditahan pada pukul 12.56 tengah malam, selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan aktiviti pengorekan dan pemindahan pasir laut dalam keadaan yang mencurigakan sewaktu melakukan rondaan rutin.

”Kapal yang ditahan bertanda nama ‘WEI YANG 001’ dan ‘JIA SHENG 218’ yang membawa 12 orang kru warga China dan Filipina yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 61 tahun.

“Siasatan awal juga mendapati kapal JIA SHENG 218 tidak mempunyai kebenaran menjalankan operasi pemindahan pasir dari pihak berkuasa” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua kru dari setiap kapal kemudiannya dibawa kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut.

“Pihak kami sedang mengesan pemilik dan agen kedua-dua kapal berkenaan yang masing-masing berdaftar di Palau dan Belize dan kes akan disiasat mengikut Akta Pelantar Benua 1966” katanya.

Katanya pihak APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Azman berharap orang ramai akan terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply