Home Semasa Belanjawan 2020: Sektor keselamatan siber perlu terus diperkasa

Belanjawan 2020: Sektor keselamatan siber perlu terus diperkasa

by Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Bidang keselamatan siber negara perlu terus diperkemas dan diperkasakan, seiring dengan perubahan era digital yang semakin mencabar serta kompleks.

Justeru itu, tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan bidang itu melalui agihan dana yang lebih banyak dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata kerajaan wajar menyediakan peruntukan dengan sesuai untuk menggalakkan pembangunan sektor yang lebih menyeluruh merangkumi aspek teknologi pelindungan, tadbir urus sistem dan kapasiti pembangunan insan.

Jelasnya, tahap kemajuan sesuatu teknologi dan keupayaan sistem perlindungannya haruslah bergerak seiring demi menangkis serangan serta ancaman kepada teknologi itu.

“Risiko amat tinggi jika kita hanya tertumpu pada pembangunan teknologi digital tanpa meningkatkan perlindungan terhadap teknologi itu sendiri. Dalam konteks dunia digital, kita perlu sentiasa bersedia dengan ancaman serangan siber yang semakin kompleks, diharapkan belanjawan ini industri keselamatan siber dapat diberi fokus,” katanya kepada Bernama.

Tambah Amiruddin, banyak inisiatif dan dasar yang diperkenal kerajaan ketika ini berpaksikan bidang pendigitalan termasuk sistem pengurusan secara dalam talian yang memerlukan ciri pelindungan secara ‘multi-layers’.

Katanya menerusi dana yang diberikan pelbagai usaha memajukan sektor itu dapat dilaksanakan termasuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penyediaan sistem perlindungan siber yang lebih canggih.

Untuk rekod, dalam Belanjawan 2019 lepas, bidang digital menyaksikan antara sektor yang mendapat agihan dana terbesar menerusi pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion bagi menggalakkan perkembangan ekonomi digital.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM10 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membangunkan dan menggalakkan industri E-Sports.

Sementara itu, dalam usaha melengkapkan keperluan negara berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0, Belanjawan 2020 juga perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran teknologi digital.

Bercakap kepada Bernama pada #mydigitalmaker Fair 2019, baru-baru ini, Naib Presiden Pembangunan Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC Dr Sumitra Nair berkata dana yang besar perlu diperuntukkan untuk merangsang kebolehan dan kemahiran tenaga kerja sedia ada sejajar dengan keperluan dunia teknologi

Katanya lebih banyak peluang pekerjaan baharu akan wujud apabila berlakunya perubahan digital, dan beliau memetik unjuran Forum Ekonomi Dunia bahawa 65 peratus tenaga kerja akan bekerja dalam sektor pekerjaan yang belum diwujudkan kerana ia memerlukan kemahiran digital.

“Kami berharap kerajaan akan memperuntukkan lebih atau sekurang-kurangnya lebih fokus dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada agar ia sentiasa relevan, kerana teknologi sentiasa berubah, justeru mereka (tenaga kerja) perlu ditambah kemahirannya,” katanya.

Sumitra berkata selain pertambahan dana, perubahan mentaliti masyarakat juga penting bagi memastikan era transformasi digital dapat digembleng sepenuhnya, dengan masyarakat wajar mempraktikkan pembelajaran sepanjang hayat untuk melengkapkan diri dengan kemahiran mengikut kehendak semasa.

“Rata-rata kita berpuas hati selepas bergelar graduan dan mempunyai pekerjaan. Tetapi kita perlu ingat keperluan dan kemahiran dalam pekerjaan sentiasa berubah dan perlu meningkatkan kemahiran. Walaupun kerajaan memberikan insentif, mungkin tidak ada yang mahu melakukannya, jadi kita perlu mencari jalan untuk mewujudkan mentaliti pembelajaran sepanjang hayat ini,” katanya.

Tumpuan pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat ini, pastinya terarah kepada persoalan jumlah peruntukan disediakan untuk agihan kepada sektor terbabit. Lebih menarik, belanjawan kali ini digarap berpandukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu kerangka hala tuju negara bagi tempoh 10 tahun, yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu lepas. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply