PUTRAJAYA, 31 DIS 2024 – Kementerian Luar Negeri hari ini mengumumkan pelantikan Dr. Raja Subramaniam sebagai Pakar dalam Scientific Advisory Board (SAB) di bawah Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW).
“Dengan sukacitanya diumumkan bahawa seorang rakyat Malaysia, Dr. Raja Subramaniam, dilantik sebagai Pakar dalam Scientific Advisory Board (SAB) bagi Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW),
“Beliau merupakan salah seorang daripada tujuh orang Pakar dari rantau Asia dalam SAB,” menurut kenyatan Wisma Putra pada Selasa.
SAB merupakan badan yang berpusat di The Hague, Belanda, dan dianggotai oleh 25 pakar dari negara anggota OPCW.
Anggota SAB bertanggungjawab memberikan nasihat khusus kepada Ketua Pengarah OPCW berhubung perkembangan saintifik dan teknologi untuk pelaksanaan Konvensyen Senjata Kimia di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, SAB berkhidmat dalam kapasiti peribadi dan bersidang sekurang-kurangnya sekali setahun atau apabila diperlukan.
“Tempoh perkhidmatan Dr. Raja dalam SAB dijadualkan bermula pada 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2027.
“Dr. Raja memiliki 23 tahun pengalaman dalam bidang ini dan merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam Analisis Senjata Kimia daripada National Swedish Chemical, Biological, Radioactive, and Nuclear (CBRN) Defence Research,” katanya.
Beliau kini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian di Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (PBKKSK), Kementerian Luar Negeri, bagi penggal kedua.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri turut merakamkan penghargaan kepada OPCW dan masyarakat antarabangsa atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.
Tegasnya, pelantikan ini diyakini akan mengukuhkan lagi peranan negara sebagai penyokong tegas usaha penghapusan senjata kimia di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Malaysia juga telah berjaya dipilih semula sebagai Ahli Majlis Eksekutif OPCW bagi penggal 2024–2026. Penggal tersebut bermula pada 12 Mei 2024 dan dijangka berakhir pada 11 Mei 2026. -airtimes.my
#WismaPutra #Penyelidikan #AirTimes #Malaysia