Home Semasa Kerajaan PH bukan kerajaan tidak bertimbang rasa – Tun Mahathir

Kerajaan PH bukan kerajaan tidak bertimbang rasa – Tun Mahathir

by Bernama

PUTRAJAYA, 22 Ogos – Kerajaan hari ini bukan tidak bertimbang rasa dalam bentuk pemberian bantuan tunai kepada rakyat, tetapi tidak mahu pemberian sedemikian menyebabkan implikasi kewangan lebih besar kepada negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan ketika ini perlu berusaha untuk memastikan keselamatan negara terpelihara terutamanya dalam aspek kewangan.

“Kalau kita guna wang yang dipinjam atau dicuri untuk tunjuk bahawa kita bertimbang rasa, akhirnya kita akan hadapi masalah yang amat besar,” katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan pegawai-pegawai kerajaan bersama Perdana Menteri sesi kedua 2019, di sini hari ini.

Bertemakan Perkhidmatan Awam Malaysia: Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan Negara, majlis itu dihadiri seramai 1,500 pegawai kerajaan gred 41 hingga 48.

Dr Mahathir, yang pemerhatiannya mendapati rakyat kini cenderung bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan, terpaksa menjelaskan perkara itu kerana tidak mahu kerajaan hari ini disalah anggap sebagai tidak bertimbang rasa seperti kerajaan terdahulu yang memberi bantuan tunai.

“Nak duit minta kepada kerajaan, dan kerajaan dahulu beri kerana mereka salah guna wang. Kerajaan ini tak dapat beri kerana kalau kita beri kita akan hutang lebih banyak.

Dr Mahathir berkata kerajaan terdahulu juga sering menaikkan gaji pegawai kerajaan sehingga 25 peratus untuk mendapatkan sokongan, tanpa mengambil kira jumlah pendapatan cukai sehingga menyebabkan kekurangan dana untuk pembangunan.

“Dalam negara, perbelanjaan terbahagi kepada dua, satu untuk operasi dan satu untuk pembangunan. Kalau terlalu banyak untuk operasi maka tak cukup untuk pembangunan, maka kita akan pinjam wang dan kewangan negara mengalami defisit,” katanya.

Menurutnya, satu daripada masalah yang menghalang pemulihan negara dengan cepat ialah kerana kerajaan terdahulu membuat pinjaman sehingga RM1 trilion, menyebabkan kutipan cukai ketika ini terpaksa digunakan untuk membayar hutang dan faedah ke atas hutang tersebut.

Untuk itu, Dr Mahathir berkata jentera kerajaan perlu memberikan kesetiaan dan sokongan kepada pemerintah hari ini kerana proses pemulihan negara bergantung kepada kefahaman dan kerjasama antara jentera kerajaan dan pemerintah.

“Jentera kerajaan perlu beri kerjasama dan kesetiaan kepada kerajaan yang baharu ini melainkan kerajaan baharu ini juga terlibat mencuri dan rasuah. Tetapi setakat ini kita tak lihat amalan pencurian besar-besaran seperti yang berlaku kepada kerajaan lepas.

“Oleh itu, kita harap jentera kerajaan tolong pulihkan negara apabila kerajaan baharu perkenal cara dan dasar untuk pulihkan negara. Inilah sikap yang perlu ada kepada jentera kerajaan,” kata Dr Mahathir. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply