Home Semasa APMM tahan bot nelayan pukat tunda diperairan Kudat

APMM tahan bot nelayan pukat tunda diperairan Kudat

by Bernama

KOTA KINABALU, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menunda pukat di kawasan kurang dari tiga batu nautika dari daratan terdekat di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon APMM Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata bot dinaiki tiga nelayan itu ditahan kira-kira jam 12 tengah malam pada kedudukan sekitar 1.9 batu nautika dari Tanjung Parapat.

Katanya pemeriksaan pada sistem data juga mendapati ini merupakan kesalahan berulang kali kelima membabikan bot nelayan yang sama.

“Kebanyakan bot yang melakukan aktiviti ini akan menjalankan aktiviti mereka pada lewat malam dan awal pagi serta biasanya akan bergelap supaya tidak dapat dikesan oleh pihak penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya nelayan mengambil mudah terhadap undang-undang demi keuntungan segera.

Beliau berkata aktiviti menunda di kawasan yang tidak dibenarkan ini akan merosakkan batu karang dan menjejaskan keseimbangan ekosistem alam.

Boon berkata bot terbabit beserta ketiga-tiga nelayan yang berusia diantara 35 ke 41 tahun yang ditahan dibawa ke Jeti Awam Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Beliau berkata para majikan serta pemilik-pemilik bot perlu sentiasa peka dengan aktiviti dan pergerakan pekerja mereka.

Pastikan tekong bot memahami serta mengetahui akan undang-undang dan peraturan yang sedia ada sebelum diberikan tugas mengendalikan bot, kata Boon.- Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply