LANGKAWI, 19 JUN – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima satu laporan mayat lelaki ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di perairan Tenggara Pulau Bumbum Besar, Langkawi, semalam.
Mayat yang terapung itu ditemui oleh nelayan semasa sedang menangkap ikan kira-kira jam 5 petang pada kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika Tenggara Pulau Bumbum Besar.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, setelah menerima laporan tersebut, sebuah bot Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi penemuan mayat itu.
“Mayat yang ditemui dalam keadaan tidak berpakaian itu kemudian dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rozali berkata sehingga kini pihaknya masih tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang kehilangan ahli keluarga.
“Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750,” ujarnya.