BAGHDAD, 18 Jun – Ulama Syiah Iraq, Moqtada al-Sadr menggesa parti politik di Iraq untuk menekan perdana menteri negara itu untuk membentuk kabinet dalam tempoh 10 hari atau berdepan dengan tindakan penyokongnya.
Sadr yang mengetuai blok majoriti parlimen Iraq sebelum ini menggesa Baghdad untuk mengemukakan calon bebas untuk mengisi beberapa jawatan utama kabinet yang menjadi punca pertelingkahan beberapa parti politik.
Pada Oktober 2018, Adel Abdul-Mahdi telah dipilih untuk menjadi Perdana Menteri Iraq oleh presidennya, Barham Salih. Parlimen Iraq turut meluluskan 14 portfolio menteri kabinet baharu namun portfolio utama seperti pertahanan dan hal ehwal dalam negeri masih belum diisi.
“Saya meminta semua blok politik untuk mendesak perdana menteri untuk melengkapkan kabinet Iraq dalam masa 10 hari,” gesa Sadr seperti yang dilaporkan oleh Reuters.
Sadr mengetuai perikatan Saairun yang terdiri daripada parti Gerakan Sadr dan Parti Komunis Iraq. Saairun yang memenangi 54 daripada 329 kerusi parlimen semasa Pilihan Raya Iraq pada tahun lalu.
Kejayaan Sadr pada ketika itu telah mengejutkan banyak pihak selepas dipinggirkan untuk satu tempoh lama oleh pesaingnya.
Sadr pernah melancarkan protes besar-besaran terhadap kerajaan Iraq sebelum ini yang dipimpin oleh Nouri al-Maliki.
Selain daripada itu, beliau turut melancarkan dua gerakan bersenjata menentang pendudukan tentera Amerika Syarikat di Iraq.