KAHERAH, 18 Jun – Bekas Presiden Mesir yang pertama dipilih selepas fenomena Arab Spring, Dr Mohammed Morsi dilaporkan meninggal dunia di kamar mahkamah ibu negara itu, semalam.
Morsi dilaporkan rebah tidak lama selepas menyampaikan hujah beliau ketika kes terhadapnya sedang berlangsung. Beliau dituduh kerana terlibat dalam aktiviti pengintipan bagi pihak Hamas.
Menurut laporan stesen televisyen Mesir, Morsi meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia).
Morsi menerajui pemerintahan Mesir pada tahun 2012 selepas kerajaan pimpinan selama 30 tahun oleh Hosni Mubarak tumbang ketika fenomena Arab Spring berlaku di rantau Timur Tengah. Pemerintahan Morsi tidak kekal lama apabila beliau ditumbangkan oleh pihak tentera Mesir pada tahun 2013 ketika berlakunya protes besar-besaran terhadap pemerintahan beliau.
Beliau yang merupakan tokoh Muslim Brotherhood (Ikhwan Muslimin) pernah dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2015 atas kesalahan melakukan rusuhan di penjara pada 2011 bagi menentang Hosni Mubarak. Hukuman yang sama turut dijatuhkan kepada Yusuf Al-Qaradawi dan 105 penyokong Ikhwanul Muslimin yang lain. Hukuman tersebut telah dibatalkan oleh pihak kehakiman Mesir pada tahun 2016.
Morsi sebelum ini turut menjalani hukuman penjara selama 20 tahun atas tuduhan membunuh penunjuk perasaan pada tahun 2012 serta hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan mengintip untuk negara Qatar. Morsi menafikan kedua-dua tuduhan tersebut.