KUALA LUMPUR, 18 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkongsi rasa sedih beliau atas pemergian bekas Presiden Mesir, Dr Mohammed Morsi.
“Ucapan takziah buat ahli keluarga Morsi dan rakyat Mesir atas pemergian beliau,” kata Wan Azizah di akaun Twitter rasmi kendaliannya malam tadi.
“Morsi merupakan pemimpin yang dipilih secara demokrasi sebagai Presiden ke-5 Mesir,
“Kematian beliau merupakan kehilangan besar kepada demokrasi,” ujarnya.
Morsi dilaporkan rebah ketika hadir ke sesi perbicaraan kes yang sedang berlangsung di Kaherah, semalam. Beliau merupakan Presiden Mesir pertama setelah 30 tahun negara Afrika Utara itu di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.
Beliau yang merupakan antara tokoh terkenal Muslim Brotherhood (Ikhwanul Muslimin) telah digulingkan oleh Tentera Mesir yang diketuai oleh Jeneral Abdel-Fattah el-Sissi pada tahun 2013, setahun selepas Morsi menerajui kepimpinan Mesir.
Organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1928 itu kemudiannya diharamkan oleh kerajaan Mesir dan diklasifikasi sebagai kumpulan pengganas.
Morsi telah dipenjarakan dan menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk melakukan keganasan dan terlibat dalam aktiviti pengintipan untuk Qatar serta beberapa organisasi di Timur Tengah.
Semenjak rampasan kuasa pada tahun 2013, Sissi terus menerajui tampuk pemerintahan Mesir.