Home SemasaGlobal Tentera Laut Filipina tingkat upaya kekuatan, terima 2 helikopter anti kapal selam

Tentera Laut Filipina tingkat upaya kekuatan, terima 2 helikopter anti kapal selam

by M.Daim

MANILA, 8 Mei – Tentera Laut Filipina telah menerima 2 buah helikopter anti kapal selam, AW159 Wildcat, semalam.

Kesemua helikopter tersebut telah dihantar dari London dengan menggunakan pesawat pengangkut Antonov An-124. Ketibaan AW159 sekaligus memberi isyarat bahawa Filipina mula mempunyai kekuatan peperangan bawah permukaan.

“AW159 akan memberikan kekuatan baharu kepada Tentera Laut Filipina dengan memiliki keupayaan untuk mencari dan mengesan kapal selam,” kata Panglima Tentera Laut Filipina, Vice Admiral Robert Empedrad, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita tempatan.

Menurut beliau, perolehan AW159 sekaligus membuka era baharu kepada tentera laut negara itu yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk mengesan ancaman kapal selam.

Beliau menambah, kedua-dua helikopter ini akan ditempatkan di kapal frigat kelas Jose Rizal yang sedang dibina oleh Hyundai Heavy Industries di Korea Selatan.

AW159 akan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada 27 Mei bersempena sambutan hari ulang tahun ke-121 Tentera Laut Filipina.

Kedua-dua buah helikopter tersebut telah ditempah oleh kerajaan Filipina pada tahun 2016 dengan nilai pembelian sebanyak US$ 115.5 juta. Kontrak perolehan turut merangkumi persenjataan, kelengkapan misi dan khidmat sokongan logistik dari pembekal.

AW159 Wildcat merupakan helikopter yang direka untuk melaksanakan misi pemantauan kawasan maritim, melaksanakan misi pemintasan maritim serta misi mencari dan menyelamat (SAR).

Selain daripada itu, helikopter ini juga berupaya untuk melaksanakan misi peperangan atas permukaan (peperangan anti kapal, ASuW) dan peperangan bawah permukaan (peperangan anti kapal selam, ASW).

Related Articles

Leave a Reply