AMMAN, 4 Mac – Ketua pihak berkuasa wakaf, Sheikh Abdel Azim Salhab disekat selama 40 hari dari memasuki Masjid Al-Aqsa di wilayah timur Baitulmaqdis.
Jordan menuduh pihak berkuasa Israel menghalang pegawai agama kanan Palestin dari Masjid Al-Aqsa di wilayah timur Baitulmaqdis yang dijajah negara Zionis itu.
Timbalan Sheikh Abdel dan dua lagi pegawai agama lain turut ditahan termasuk jurucakap badan itu, Firas al-Dibs yang bertanggungjawab kepada Jordan sebagai penjaga Masjid Al-Aqsa.
Bagaimanapun, polis Israel enggan memberikan ulasan mengenai isu itu, ketika dihubungi.
“Israel sengaja mencari sebab meningkatkan ketegangan dengan mengganggu kerja-kerja wakaf di Baitulmaqdis dan menakut-nakutkan ahlinya,” kata Menteri Hal Ehwal Agama Jordan, Abdel Nasser Abu-Bassal.
Masjid itu adalah lokasi ketiga paling suci bagi umat Islam, selepas Makkah dan Madinah.