Home Semasa Polis buru individu hina agama

Polis buru individu hina agama

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 1 Mac – Polis telah mengenal pasti dan sedang memburu beberapa lagi individu yang disyaki mengeluarkan kenyataan menghina agama yang boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran dalam kalangan rakyat negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) untuk bertindak menangani sebarang isu berkaitan penghinaan agama dan menyegerakan siasatan berkaitan perkara itu.

“Semalam (kelmarin), saya sendiri mengarahkan USJT ini untuk menyiasat kes menghina agama kerana perkara ini penting untuk ditangani berikutan ia melibatkan isu sensitiviti sesebuah kaum dan agama selain menjaga keharmonian negara.

Unit ini akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada saya dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan semua kes itu akan diambil alih oleh Bukit Aman bagi membolehkan tindakan diambil dan pendakwaan dibuat dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 kepada 300 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan berapa lagi individu yang terbabit dalam menghina agama dan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aishah menerusi laman media sosial Facebook baru-baru ini.

Noor Rashid berkata, kebanyakan kes penghinaan agama telah dikesan dan jumlah mereka yang terlibat adalah kurang daripada 10 orang berikutan terdapat beberapa individu lain disyaki terbabit telah melarikan diri atau tidak dapat dikesan.

“Sebarang tohmahan dan berita yang dinaikkan di laman media sosial yang menjurus kepada penghinaan agama tidak boleh dipandang ringan. Jadi pihak kita akan siasat dan analisis kes tersebut sebelum suspek dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Katanya, selepas kertas siasatan siap sepenuhnya semua bukti akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan segera.

Selasa lalu, seorang operator kilang, A Taneson, 22, dilaporkan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, atas kesalahan menghina Nabi Muhammad melalui akaun Facebook miliknya.

Kelmarin Wai Foo Sing, 68, yang menggunakan laman profil Facebook Foo Sing Wai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memuat naik karikatur dan menghantar komunikasi jelik yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah menerusi akaun Facebook miliknya. — Bernama

Related Articles

Leave a Reply