Home PolitikPakatan Harapan Bersatu sah tubuh cawangan di Sabah – Dr Mahathir

Bersatu sah tubuh cawangan di Sabah – Dr Mahathir

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata parti itu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah bagi membolehkan bekas anggota UMNO Sabah menyertainya.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata keputusan itu dibuat selepas anggota UMNO Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan (PH).

“Mereka ini tidak memilih untuk menyertai Warisan… dan mahu menyertai Bersatu. Bagaimanapun tapisan ketat akan dikenakan untuk mereka yang akan menyertai Bersatu.

“Tiga syarat yang kita letak ialah mereka mesti keluar UMNO, menjadi (wakil rakyat) Bebas untuk sekian lama dan barulah kita sedia untuk terima tetapi dengan pemilihan yang ketat, bukan secara berkumpulan tetapi individu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu di sini.

Beliau berkata penubuhan Bersatu Sabah akan dibuat secepat mungkin dan parti akan membuat keputusan mengenai pemimpinnya kemudian.

Bagaimanapun wujudnya Bersatu di Sabah bukan untuk mencabar atau menentang Warisan yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tegas Dr Mahathir.

Semua boleh menyertai Bersatu kecuali mereka daripada parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah serta sekutunya Warisan.

Ditanya sama ada perkara tersebut dibincangkan dengan kepimpinan Warisan, Dr Mahathir berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita pergi Sabah untuk kuatkan kerajaan Shafie, kita bukan nak menentang Warisan, keputusan ini kita buat bila lihat keadaan Sabah… mereka ini (bekas anggota UMNO) tak nak sertai Warisan tetapi nak sertai Bersatu,” tegasnya, menambah keputusan itu juga tidak memerlukan persetujuan parti-parti dalam PH.

Related Articles

Leave a Reply