Home Politik PRK Cameron Highlands: 247 mengundi awal hari ini

PRK Cameron Highlands: 247 mengundi awal hari ini

by Nurulhuda

CAMERON HIGHLANDS, 22 Jan – Dua buah pusat mengundi undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands mula dibuka tepat pukul 8 pagi ini hari ini bagi membolehkan 247 pengundi yang terdiri dalam kalangan pegawai dan anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, daripada jumlah itu, seramai 232 orang mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Berinchang di sini bagi Dun Tanah Rata yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.

Sementara itu, bagi Dun Jelai seramai 15 lagi pengundi awal akan mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Sungai Koyan sebelum pusat pengundian itu ditutup pada jam 2 petang.

Proses pengundian awal akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding selain pemerhati Pilihan Raya daripada wakil-wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.

Selepas selesai proses pengundian peti-peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini untuk penjumlahan rasmi pada hari pengundian 26 Jan ini.

Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) M.Manogaran, Ramli Mohd Nor dari BN serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta petani tempatan Wong Seng Yee.

 

 

Related Articles

Leave a Reply