Home Semasa Sambutan Thaipusam: 34 cedera terkena letupan mercun

Sambutan Thaipusam: 34 cedera terkena letupan mercun

by Nurulhuda

GOMBAK, 22 Jan – Kemeriahan sambutan Thaipusam bertukar kecoh apabila seramai 34 orang cedera akibat terkena letupan mercun yang dipasang oleh seorang pengunjung di Kuil Sri Subramaniar Batu Caves, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata kejadian dipercayai berlaku apabila seorang lelaki yang datang bersama dua rakannya untuk meraikan perayaan itu membakar mercun di Persimpangan Bertingkat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kira-kira 8.40 malam.

“Mercun yang sepatutnya meletup ke udara meletup di atas jalan raya menyebabkan orang awam berada berhampiran cedera.

“Kejadian turut menyebabkan tiga kenderaan yang diletakkan berhampiran lokasi turut terjejas,” katanya.

Samsor berkata, dua suspek ditahan susulan kejadian tersebut, seorang lagi masih diburu.

“Lelaki berusia 23 tahun ditahan di lokasi kejadian sementara seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi.

“Pihak polis tidak mengeluarkan permit bagi pembakaran mercun pada perayaan tersebut.

“Bagaimanapun insiden letupan mercun ini bukanlah suatu perbuatan khianat, tetapi sebaliknya adalah satu insiden yang berlaku secara spontan di mana tujuan suspek membakar mercun untuk meraikan Thaipusam. Kemungkinan mercun itu sudah mencapai tarikh luput,” kata Samsor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda letupan.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply