Home Semasa UiTM-LTAT meterai kerjasama bina residensi di Puncak Alam

UiTM-LTAT meterai kerjasama bina residensi di Puncak Alam

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 12 Jan – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) semalam memeterai memorandum perjanjian bagi membina sebuah residensi di UiTM Puncak Alam untuk disewakan kepada pelajar, ibu bapa dan orang ramai yang memerlukan penginapan di sekitar universiti itu.

Menurut laporan Bernama, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata menerusi kerjasama itu, LTAT akan menyumbang endowmen sebanyak RM6 juta manakala UiTM memperuntukkan RM2.8 juta untuk residensi berkenaan yang bakal dibina berdekatan tapak Hospital Pelatih UiTM di Puncak Alam yang kini dalam pembinaan.

“Hasil penjanaan kewangan daripada residensi ini akan digunakan untuk memberi biasiswa kepada anak-anak tentera atau bekas tentera di UiTM. Mengenai anggaran sewa, kita belum tetapkan, kita kena kaji terlebih dahulu permintaan dan pasaran semasa,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan residensi itu di sini, semalam.

Perjanjian yang ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Pemegang Amanah Yayasan LTAT, Datuk Azzat Kamaludin disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Menurut Zainal Abidin, pembinaan bangunan di atas tanah seluas 0.75 hektar yang menempatkan sebanyak 39 bilik penginapan termasuk tiga unit bilik studio, dijangka bermula Mac ini dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

“Kita akan cuba percepat pembinaannya memandangkan hospital dijangka siap pada 2020. Kita juga akan kaji untuk pembinaan fasa pertama dan kedua residensi ini memandangkan hospital berkenaan mempunyai 400 bilik dan kemungkinan akan ada lebih permintaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang bangga terhadap kerjasama itu, berpandangan pelaburan yang dilakukan oleh Yayasan LTAT amat baik lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan kebajikan pelajar dan ibu bapa.

Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed pula berkata kerjasama pembinaan residensi tiga tingkat bernilai kira-kira RM9 juta itu merupakan yang kedua bagi pihaknya selepas kerjasama pertama dilakukan bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia beberapa tahun lepas.

“Yayasan LTAT yang ditubuhkan oleh anak-anak syarikat Kumpulan LTAT pada tahun 2000 bertanggungjawab mengumpulkan dana untuk diguna pakai sebagai biasiswa anak-anak tentera dan bekas tentera yang cemerlang dalam pelajaran.

“Cadangan membina residensi di UiTM Puncak Alam ini dibuat empat tahun lepas dengan objektif untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terpelihara memandangkan kos sara hidup semakin meningkat ketika ini. Secara tidak langsung ia dapat bantu proses pembelajaran serta menjimatkan kos pelajar universiti ini yang tidak perlu menyewa di luar kampus,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor ICAEN, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.

 

Related Articles

Leave a Reply