KUALA LUMPUR, 6 DIS – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menegaskan, pelan penstrukturan semula yang dibangkitkan di Parlimen semalam telah diperhalusi untuk menghadapi cabaran semasa dan mengoptimumkan peluang pasaran terkini, bukannya dibatalkan seperti yang didakwa.
Pelan ini bertujuan memperkukuh kestabilan kewangan, mengurus liabiliti secara berkesan, serta mempelbagaikan portfolio pelaburan demi manfaat jangka panjang pencarum.
Menurut LTAT, langkah strategik termasuk pelupusan aset tertentu telah dirancang secara telus bagi mengurangkan kebergantungan kepada pelaburan tunggal seperti Boustead-Affin, selaras cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Inisiatif pelupusan aset adalah suatu langkah strategik, dan bukannya penyelesaian jangka pendek,
“Pendekatan baharu ini memastikan nilai aset dijana semula ke dalam pelaburan berimpak tinggi, meningkatkan daya tahan kewangan dan kebajikan pencarum,” jelas LTAT dalam kenyataan pada Jumaat.
Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membangkitkan kebimbangan mengenai pelan strategik LTAT 2023-2025 di Dewan Rakyat.
Ahli Jawatankuasa itu Halimah Ali berkata, PAC mendapati terdapat beberapa urusniaga penjualan aset yang sedang dilaksanakan, tetapi tidak diumumkan secara terbuka oleh Boustead, anak syarikat LTAT.
Halimah berkata terbaharu, EcoWorld mengumumkan urusniaga pembelian tanah milik anak syarikat Boustead bernilai RM742 juta yang bakal menjana nilai pembangunan sehingga RM4.6 bilion kepada Ecoworld, selain pelan penjualan tanah ladang milik Boustead Plantations Berhad di Batu Kawan, Pulau Pinang kepada syarikat Ideal Properties Berhad.
Mengulas lanjut, LTAT menegaskan, syarikat kumpulan LTAT tidak memiliki sebarang tanah di Batu Kawan dan kenyataan di dalam laporan PAC itu tidak benar dan mengelirukan.
Manakala, bagi transaksi pelupusan tanah di Semenyih, LTAT menjelaskan, ia dilakukan melalui proses tender ketat dan telus bersama sebuah syarikat majoriti Bumiputera untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar.
“Daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu EcoWorld telah mengemukakan cadangan.
“EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn Bhd (MBSB), di mana BProp merupakan pemegang saham minoriti, telah dipilih selepas penilaian yang menyeluruh,” ujarnya lagi.- airtimes.my
#Pertahanan #LTAT #PAC #MINDEF #AirTimes #Aset