Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Dulu berkorban untuk negara, sekarang aset kami digadai – PVATM

#Pertahanan: Dulu berkorban untuk negara, sekarang aset kami digadai – PVATM

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=OxlB52m6HEg[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan terhadap isu penjualan saham Boustead Plantations Bhd (BPB) kepada syarikat swasta.

Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, kerajaan perlu lebih teliti dalam isu penjualan 33 peratus sahamnya di dalam BPB kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion, sungguhpun ia dilapor amat perlu bagi meningkatkan kecairan aset tunai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan penjualan saham itu yang dilihat tidak memberikan manfaat yang jelas kepada LTAT.

Tegasnya, penjualan ekuiti tersebut bukan hanya akan memberi kesan kepada aset LTAT sahaja, malahan kebajikan warga ATM termasuk veteran turut terkesan.

Malah, ia dilihat mempersiakan perjuangan veteran tentera pada satu masa dahulu.

“Perlu diingat, setiap inci tanah di negara ini mempunyai titisan peluh dan darah serta cebisan daging pejuang terdahulu yang berkorban untuk mempertahankan tanah air,

“Pejuang dan pahlawan negara sebelum ini sudah berjuang untuk membersihkan dan memutihkan negara ini daripada komunis, tapi 30 tahun kemudian ia terjual dan dikorbankan,

“Adakah penjualan ini jalan penyelesaian terbaik kepada masalah dihadapi? Pada pandangan kami, mungkin ada kaedah lain yang lebih bersesuaian tanpa menjual ekuiti,” katanya dalam sidang media di Wisma Pahlawan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyatakan terdapat keraguan dalam kaedah dan harga jualan saham tersebut.

“Dengan jualan sedemikian, dilihat ia tidak memberikan keuntungan kepada LTAT,

“Aset-aset yang dimiliki oleh Boustead ini mempunyai nilai yang sangat tinggi kepada anggota tentera yang telah berkorban untuk negara,

“Jangan sampai ianya terlepas ke tangan orang lain,” tegasnya lagi.

Pada 24 Ogos lalu, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) telah memuktamadkan perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan LTAT dan BHB yang menyaksikan KLK mengambilalih 33 peratus saham BPlant dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.

Berikutan itu, beberapa pihak menggesa kerajaan untuk memperjelas rasional di sebalik pengambilalihan pegangan saham itu yang didakwa tidak selari dengan komitmen untuk memperkasa ekuiti Bumiputera seperti dilaungkan.

Minggu lalu, ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, urus niaga itu disifatkan sebagai membimbangkan kerana 221,000 ekar (89,000 hektar) tanah yang berpotensi tinggi terlepas ke tangan bukan Bumiputera.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam dilaporkan berkata, penjualan sebahagian saham itu perlu dilaksanakan dengan segera bertujuan membolehkan penyelesaian masalah aliran tunai dan hutang Boustead sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Mohamad menambah, ia mustahak bagi mengelak Boustead daripada menjadi muflis sekiranya hutang tidak dilangsaikan pada masa ditetapkan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply