Home Pertahanan dan Keselamatan Jadikan pengajaran, jangan jual saham LTAT kepada pihak luar – PVATM

Jadikan pengajaran, jangan jual saham LTAT kepada pihak luar – PVATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menyambut baik keputusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk tidak meneruskan cadangan penjualan 33 peratus kepentingan dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).

Presiden PVATM, Datuk Shahruddin Omar menganggap pengumuman LTAT itu sebagai langkah yang tepat dalam penyelamatan anak syarikatnya dan memulihkan prestasi kewangan mereka.

Beliau menekankan bahawa tindakan ini merupakan amalan yang baik untuk mengukuhkan ekonomi dan kewangan badan berkanun di bawah naungan LTAT.

Dalam masa yang sama, Shahruddin berkata rancangan untuk menjual saham BPlant kepada KLK sebelum ia dibatalkan, perlu dijadikan pengajaran supaya tidak terpedaya dengan tawaran harga yang dilihat tidak mendatangkan keuntungan.

“Ini (beli saham Bplant) amalan baik untuk mengukuhkan ekonomi dan kewangan sebuah badan berkanun bawah LTAT, selain menahan aset daripada terjual kepada pihak luar,

“Jadikan (cadangan pengambilalihan Bplant oleh KLK) sebagai pengajaran…kalau boleh pertahankan dan jangan jatuh ke tangan orang luar,” katanya kepada Air Times.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BPlant satu-satunya aset LTAT yang setakat ini memberikan imej keuntungan kepada LTAT dan Boustead, berbanding dengan aset-aset yang lain.

“BPlant telah memberikan sumbangan yang besar kepada pegangan kekuatan kewangan kepada LTAT dan Boustead Holdings Bhd (Boustead) itu sendiri, berbanding lain-lain anak syarikat. Sayang kalau ia dijual kepada pihak luar,” tambahnya lagi.

Semalam, LTAT mengumumkan merancang untuk membeli BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, susulan kegagalan cadangan pelupusan 33 peratus kepentingan dalam Bplant oleh LTAT dan Boustead Holdings Bhd (Boustead) kepada KLK.

LTAT dan Boustead memegang sejumlah 68% dalam BPlant. Awal tahun ini, Boustead telah dinyahsenarai dari Bursa Malaysia.

Dalam kenyataan tersebut, LTAT berkata sebagai pemegang saham majoriti, bersama-sama dengan Boustead, BPlant, mereka akan menumpukan semula usaha penstrukturan semula syarikat untuk memastikan ia kembali pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan melakarkan ufuk perniagaan yang lebih baik untuk bergerak ke hadapan.

Pada 24 Ogos lalu, KLK telah bercadang untuk membeli memperoleh 739.20 juta saham, atau 33 peratus kepentingan dan satu saham BPlant daripada BHB pada harga RM1.15 bilion.

Isu penjualan saham BPlant sebelum ini mendapat perhatian umum termasuk di Dewan Rakyat dan juga veteran tentera.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 September lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan penjualan separa saham BHB dalam BPlant perlu dilaksanakan.

“Daripada segi perspektif LTAT, penjualan separa saham ini perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia bertujuan untuk membolehkan masalah aliran tunai dan penyelesaian hutang Boustead dilaksanakan sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,

“Ini adalah mustahak bagi mengelakkan daripada Boustead menjadi muflis sekiranya hutang tidak dilangsaikan pada masa yang ditetapkan,” kata Menteri Pertahanan ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sebelum ini, Sharuddin Omar juga pernah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam isu penjualan saham BPlant.

Menurut beliau, penjualan ekuiti tersebut bukan hanya akan memberi kesan kepada aset LTAT sahaja, malahan kebajikan warga ATM termasuk veteran turut terkesan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #BPlant #Boustead #LTAT

Related Articles

Leave a Reply