KUALA LUMPUR, 5 OKT –Penjualan sebanyak 33 peratus kepentingan Boustead Plantation Berhad (BPlant) tidak akan diteruskan.
Ini berikutan pihak Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd (BHB) dan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bersetuju untuk tidak meneruskan pengambilalihan BPlant.
Sebelum ini, 33 peratus kepentingan dicadangkan untuk diambil alih oleh KLK dengan nilai RM1.15 bilion.
Perkara tersebut diumumkan oleh KLK dan BPlant dalam pengumuman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Menurutnya, syarat duluan di bawah perjanjian kerjasama strategik (SCA) tidak dapat dipenuhi pada tarikh akhir 6 Oktober 2023.
“Berdasarkan keadaan tersebut, pihak-pihak berkaitan telah bersetuju bahawa SCA akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 4 Okt 2023,” kata kedua-dua syarikat dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada tarikh yang sama.
Sementara itu, pihak RHB Investment Bank Bhd mewakili KLK menyatakan BHB akan memulangkan deposit.
“BHB akan memulangkan deposit bersamaan kira-kira RM229.15 juta kepada KLK dalam tempoh 14 hari perniagaan dari hari ini, atau tarikh lain yang kemudian seperti yang dipersetujui antara kedua-dua pihak,” katanya.
LTAT merupakan pemegang kepentingan utama BPlant dengan syarikat induknya adalah BHB.
Pada 24 Ogos lalu, KLK telah bercadang untuk membeli memperoleh 739.20 juta saham, atau 33 peratus kepentingan dan satu saham BPlant daripada BHB pada harga RM1.15 bilion.
KLK sebelum ini mengumumkan kesemua pihak telah bersetuju untuk lanjutkan tarikh akhir perjanjian.
Isu penjualan saham BPlant sebelum ini mendapat perhatian umum termasuk di Dewan Rakyat dan juga veteran tentera.
Dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 September lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan penjualan separa saham BHB dalam BPlant perlu dilaksanakan.
“Daripada segi perspektif LTAT, penjualan separa saham ini perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia bertujuan untuk membolehkan masalah aliran tunai dan penyelesaian hutang Boustead dilaksanakan sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,
“Ini adalah mustahak bagi mengelakkan daripada Boustead menjadi muflis sekiranya hutang tidak dilangsaikan pada masa yang ditetapkan,” kata Menteri Pertahanan ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Dalam sidang yang sama, beliau menegaskan penjualan pegangan BPlant masih belum mendapat kelulusan beliau.
Tambahnya, pihak Kementerian Pertahanan akan berunding dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Boustead.
Tegas Tok Mat, sekiranya keperluan dana Boustead tidak dapat dipenuhi, ia akan memberikan kesan LTAT.
Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam isu penjualan saham BPlant.
Menurut beliau, penjualan ekuiti tersebut bukan hanya akan memberi kesan kepada aset LTAT sahaja, malahan kebajikan warga ATM termasuk veteran turut terkesan. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #BPlant #Boustead #LTAT