Home Pertahanan dan Keselamatan LTAT isytihar kadar dividen 5 peratus

LTAT isytihar kadar dividen 5 peratus

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5 peratus bagi tahun 2022 melibatkan jumlah pembayaran bernilai RM476.45 juta.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kadar dividen tersebut meningkat 0.9 peratus berbanding 2021 iaitu hanya RM379.40 juta.

“Syukur alhamdulilah, pada tengah hari ini LTAT mengumumkan memperuntukan sejumlah kewangan daripada keuntungan operasi syarikat sebanyak 5 peratus untuk dividen tersebut,

“Ini mengambil perkiraan suasana pasaran dan suasana sistem kewangan negara yang belum pulih lagi akibat berdepan pandemik COVID-19, tetapi atas pengurusan cekap daripada LTAT mereka telah dapat pulangan baik daripada pelabur mereka,

“Dan akhirnya berjaya memperuntukan bayaran dividen sebanyak 5 peratus. Tahniah kerana telah berjaya mengumumkan dividen yang lebih baik berbanding tahun 2021,” katanya selepas majlis pengumuman dividen LTAT 2022, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan pengurusan LTAT supaya tidak mendedahkan tabung itu kepada pelaburan berisiko tinggi dan mengekalkan prinsip tabungan selamat kepada pencarum.

“LTAT ini badan yang ditubuhkan mengikut Akta Parlimen untuk angkatan tentera mencarum untuk masa depan mereka,

“Jadi, LTAT ada peranan besar iaitu pertama, pastikan caruman mereka ini selamat dan kedua pastikan supaya caruman mereka mendatangkan pulangan. Biar tak lumayan, asalkan memadai,” jelasnya lagi.

Pengkreditan dividen 2022 kepada 122,935 pencarum telah dilaksanakan pada Jumaat lepas dan mereka boleh mendapat maklumat terkini melalui aplikasi mudah alih MyWira atau menerusi laman web LTAT di www.ltat.org.my.

Sementara itu, LTAT memaklumkan, pihaknya telah merekodkan RM652.36 juta Pendapatan Kasar untuk tahun dalam tinjauan, peningkatan 27.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang didorong hasil pendapatan pelaburan ekuiti awam dan ekuti persendirian.

Bagi Pendapatan Tertahan (pasca dividen) pula, LTAT merekodkan RM499.64 juta iaitu peningkatan signifikan sebanyak 72.8 peratus berbanding RM289.15 juta pada tahun sebelumnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply