Home Pertahanan dan Keselamatan LTAT sokong inisiatif Program Kerjaya Kedua Veteran ATM

LTAT sokong inisiatif Program Kerjaya Kedua Veteran ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam mengembangkan Program Kerjaya Kedua Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, ia bakal melibatkan seramai 5,000 veteran yang akan berpencen tahun ini.

Beliau berkata, kumpulan syarikat LTAT serta rakan strategik yang lain akan bekerjasama dalam menyediakan latihan kemahiran yang komprehensif untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan sekali gus memberi perlindungan sosial yang diperlukan oleh veteran.

“Di LTAT, kebajikan dan perlindungan sosial penyumbang kami, veteran masa depan dan semasa, adalah asas mandat organisasi kami,

“Kami berbesar hati kerana diberi peluang untuk merealisasikan usaha Kerajaan demi kepentingan terbaik penyumbang kami, yang merupakan pemegang taruh utama LTAT,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nazim berkata, seperti dinyatakan dalam pengumuman Belanjawan 2023, LTAT dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan memperuntukkan 28.33 hektar tanah dimiliki syarikat Kumpulan LTAT.

“Ia sebagai perintis projek domestik pertanian jagung bijirin secara besar-besaran bagi menyokong agenda keselamatan makanan negara, selain memberikan program kerjaya kedua untuk veteran ATM,” jelasnya lagi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama LTAT.

“Di bawah ikhtiar ini, seramai 5,000 veteran ATM yang berpencen tahun ini akan ditawarkan peluang pekerjaan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan,

“Untuk meningkatkan kemahiran 1,250 orang veteran, Jabatan Hal Ehwal Veteran bersama-sama agensi kerajaan lain akan menawarkan lima bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama 3 bulan,” jelas Anwar.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply