KOTA BHARU, 5 Nov – Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan 9 Disember (Ahad ) ini sebagai cuti peristiwa bagi memberi peluang kepada rakyat menghadiri perhimpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini.
“Kita harap cuti peristiwa ini memberi ruang untuk lebih ramai rakyat Kelantan pergi ke ibu negara bagi menghadiri perhimpunan yang dibuat secara besar-besaran itu,” katanya.
Himpunan bantah ICERD dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka, 8 Disember (Sabtu) ini dan dijangka dihadiri lebih 500,000 rakyat melibatkan pelbagai latar belakang.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi ICERD di Dataran Merdeka Sabtu ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan yakin perhimpunan akan diadakan secara aman.