Home Semasa Niagakawi dakwa pendekatan APMM takutkan pelancong

Niagakawi dakwa pendekatan APMM takutkan pelancong

by Air Times News Network

LANGKAWI, 20 Okt – Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi) meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan pendekatan yang lebih mesra pelancong ketika menjalankan penguatkuasaan.

Timbalan Presidennya Datuk Alexander Isaac berkata ini kerana tindakan APMM menjalankan pemeriksaan di atas kapal siar sejak kebelakangan ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelancong dan boleh menjejaskan kedatangan pelawat ke Langkawi.

“Cara mereka naik dan memeriksa kapal yang membawa pelancong menakutkan pelawat dan ramai yang membuat aduan kepada operator serta ejen pelancongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya beliau cuba mengadakan perbincangan dengan APMM namun diberitahu agar membawa perkara itu kepada Jabatan Laut Malaysia.

“Ketua Pengarah Jabatan Laut (Datuk Baharin Abdul Hamid) mengadakan dialog (dengan kami) di sini dan beliau memahami masalah kami. Beliau juga mencadangkan kepada APMM agar menggunakan pendekatan lebih mesra pelawat apabila menaiki bot pelancong,” katanya yang mendakwa APMM tidak mengendahkan cadangan tersebut.

Katanya Niagakawi juga telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Anggota Parlimen Langkawi memohon campur tangan sebelum situasi menjadi lebih buruk dan menjejaskan industri pelancongan pulau itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply