Home Semasa Tunjuk bukti saya kata SST akan turunkan harga barang – Guan Eng

Tunjuk bukti saya kata SST akan turunkan harga barang – Guan Eng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa tiada jaminan harga barang akan turun selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Saya ingin tegaskan sekali lagi seperti pernah disebut dalam sesi Parlimen sebelum ini bahawa kerajaan tidak pernah jamin harga barang tidak akan naik, yang kita jamin ialah jika ada kenaikan harga…..,” katanya di sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat meneruskan kenyataannya kerana diganggu oleh ahli-ahli parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati.

Susulan itu, Guan Eng mencabar mana-mana pihak menunjukkan bukti sekiranya beliau pernah mengeluarkan kenyataan harga barang akan turun.

“Saya dah sebut banyak kali, jika YB  boleh tunjuk di mana saya sebut SST akan sebabkan kekurangan harga tolonglah beri petunjuk kepada saya. Jika tidak boleh tunjuk bukti jangan sebarkan fitnah tak berasas.

“PRK PD telah buktikan sebar fitnah jahat tak laku dan lapuk. Biar kita tunjuk fakta dan angka sebenar,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN – Bera) mengenai jenis cukai baru akan diperkenalkan kerajaan, Guan Eng berkata, ia akan diumumkan dalam belanjawan negara, 2 November ini.

“Dua minggu saja lagi sebelum belanjawan dibentang. Harap Bersabar sikit sebagaimana yang ditunggu rakyat,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply