Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Malaysia antara 11 negara sertai misi kemanusiaan di Sulawesi

Malaysia antara 11 negara sertai misi kemanusiaan di Sulawesi

by Nurulhuda

BALIKPAPAN, 7 Okt – 11 negara sehingga kini telah menyertai misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa dan tsunami di Palu dan Donggala, kata Panglima Koopsau I, Marsekal Muda TNI Nanang Santoso.

Beliau berkata 11 negara terbabit iaitu Malaysia, Jepun, New Zealand, United Kingdom, India, Qatar, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perancis menghantar 18 pesawat pengangkut tentera untuk membawa bekalan bantuan ke Palu.

“Terima kasih kepada negara-negara sahabat termasuk Malaysia yang simpati dengan mangsa bencana di Sulawesi,” kata beliau.

“Terima kasih juga kepada Malaysia yang turut menghantar pesawat A400M untuk misi bantuan ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Tim SAR POLRI turut menyertai misi bantuan kemanusiaan di Palu dan Donggala, Sulawesi. Foto: PR TUDM

Menurutnya, pihak berkuasa Indonesia masih berusaha untuk memastikan Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri di Palu selamat untuk pendaratan pesawat pengangkut yang lebih besar.

“Setakat ini, hanya pesawat seperti C130H yang boleh mendarat di Palu (Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri) kerana masih ada bahagian landasan yang tidak stabil dan rosak,” katanya.

Menurut beliau, pasukan pemantau telah dihantar ke Palu untuk membuat pemeriksaan sama ada landasan di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri selamat untuk pendaratan pesawat lebih besar.

Tragedi gempa dan tsunami di Palu dan Donggala pada 28 Sept lalu telah mengorbankan kira-kira 1,558 mangsa dan memusnahkan 65,735 kediaman.

Dalam pada itu, pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan kira-kira 15 tan makanan dan keperluan harian ke Balikpapan, Kalimantan untuk mangsa bencana di Palu dan Donggala di Sulawesi hari ini. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply