PORT DICKSON, 7 Okt – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yakin gandingan bahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir esok dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan mampu melonjakkan lagi sokongan kepada Ketua Umum PKR itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga merupakan sesuatu yang positif kepada kempen Anwar.
“Alhamdulillah kita memang rasa bangga dan terharu kerana Mahathir sebagai Perdana Menteri selalunya tidak datang kempen Pilihan Raya Kecil namun dia pilih untuk datang ke Port Dickson untuk beri sokongan dan kempen kepada saudara Anwar,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, di sini.
Mahathir dijadualkan hadir ke Port Dickson malam esok dan akan bergandingan semula dengan Anwar di atas satu pentas selepas 20 tahun. – Bernama